Sorry, you need to enable JavaScript to visit this website.

MNRB TERUS MENYUMBANG KEPADA PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR MELALUI EDISI KE-3 PROGRAM LESTARI CEMERLANG

29 Feb 2016

Temerloh, 27 Februari 2016 – Kumpulan MNRB hari ini telah melancarkan Program Lestari Cemerlang MNRB edisi ke-3, di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau (SK Kuala Krau), Temerloh, Pahang. Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau.  Hadir sama, Encik Mohd Din Merican, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Encik Mohamad Nor Hisham Hashim, Penolong Pegawai Pendidikan Temerloh dan Encik Mohd Rahimi Ibrahim, Guru Besar SK Kuala Krau.

Program Lestari Cemerlang MNRB telah diperkenalkan pada tahun 2011 dan  merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat Kumpulan MNRB yang bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi akademik sekolah luar bandar bagi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang. Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya SK Kuala Krau merupakan sekolah rendah pertama bagi program ini.  Pemilihannya dibuat berikutan kesan daripada banjir besar yang berlaku di Pantai Timur pada Disember 2014 yang turut melibatkan daerah Temerloh.

Pelbagai program telah dilaksanakan sejak dari tahun lepas yang melibatkan projek menaik taraf pelbagai kemudahan asas sekolah seperti pengubahsuaian bilik darjah untuk dijadikan bilik komputer, mendirikan pentas mini serta menaja beberapa unit komputer kepada pusat sumber. Melalui program ini juga, Kumpulan MNRB turut merangka dan melaksanakan program-program akademik untuk murid-murid khususnya bagi mereka yang menduduki peperiksaan UPSR.

Yang Berhormat Dato’ Haji Ismail dalam ucapannya berkata “program sekolah angkat seperti ini menunjukkan kerjasama sektor korporat dan awam dalam pendidikan adalah seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penglibatan sektor korporat, dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti dan seimbang”. Dalam ucapannya beliau turut menghargai usaha Kumpulan MNRB untuk tampil ke hadapan dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Sementara itu, Encik Mohd Din Merican, dalam ucapannya pula berkata, “Program Lestari Cemerlang MNRB telah dirangka bagi menyediakan platform awal kepada pelajar di dalam bidang pelajaran dan ko-kurikulum. Pendekatan ini adalah selaras dengan usaha kami untuk meningkatkan potensi mereka dan seterusnya dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.”

Pada majlis ini juga, Kumpulan MNRB menyampaikan trofi dan saguhati kepada pelajar yang  memperolehi keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan UPSR tahun lepas, serta menyampaikan  bantuan kewangan kepada 21 keluarga pelajar yang kurang berkemampuan.

Guru Besar SK Kuala Krau, Encik Mohd Rahimi dalam ucapannya amat berterima kasih kepada Kumpulan MNRB di atas sumbangan yang telah diberikan. Beliau yakin Program Lestari Cemerlang MNRB ini dapat memberi manafaat bukan sahaja kepada sekolah malah kepada murid-murid untuk jangka masa panjang.  Beliau yakin program sebegini dapat memotivasikan murid-murid dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik sekolah.

Bersempena pelancaran Program Lestari Cemerlang MNRB, satu aktiviti gotong-royong turut diadakan pada sebelah pagi dengan melibatkan seramai 35 orang sukarelawan daripada kakitangan Kumpulan MNRB. Aktiviti gotong-royong ini bertujuan untuk menambah keceriaan sekolah seperti mengecat kantin dan pusat sumber serta membersih dan mengindahkan taman di persekitaran sekolah.

Encik Mohd Din Merican menyifatkan aktiviti gotong-royong seperti ini adalah salah satu cara untuk mendekati dan menyumbang kembali kepada masyarakat disamping dapat mengeratkan silaturahim Kumpulan MNRB, sekolah dan komuniti setempat.

Sejak Program Lestari Cemerlang MNRB diperkenalkan, kos keseluruhan pelaksanaannya sehingga kini berjumlah lebih RM230,000.00 dengan melibatkan tiga buah sekolah angkat.

MNRB Holdings Berhad adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuhnya ialah Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), MNRB Retakaful Berhad (MRT) dan Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL). MNRB disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mnrb.com.my