“MNRB RINGGIT SAVVY” MENDIDIK MURID-MURID AMALAN MENABUNG DARI USIA MUDA

7 May 2016

Tapah, 22 April 2016 – Murid-murid SK Toh Tandewa Sakti, Tapah, Perak dilihat teruja dengan kehadiran kakitangan MNRB Holdings Berhad (MNRB) yang telah mengadakan program berbentuk  mendidik sambil berhibur di sekolah itu pada pagi tadi.  Program yang dikenali sebagai “MNRB Ringgit Savvy” itu diatur sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 dan telah disertai seramai lebih 400 orang pelajar.

“MNRB Ringgit Savvy” merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat (CR) MNRB yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid-murid sekolah rendah mengenai aspek menabung dan kaedah pengurusan wang yang bijak melalui pelbagai aktiviti yang disediakan di bawah program ini.

Melalui program ini murid-murid telah diperkenalkan dengan satu aktiviti permainan berkonsepkan “Snake And Ladderyang mengajar mereka asas pengurusan wang. Permainan interaktif yang dimainkan secara berkumpulan ini memerlukan murid-murid bekerjasama untuk membuat keputusan dengan bijak ketika menjawab soalan yang berkaitan dengan pengurusan wang.

Disamping itu, program ini turut memuatkan aktiviti tayangan video animasi kartun Upin dan Ipin yang memberi pengajaran tentang kepentingan menyimpan wang untuk masa hadapan.  Maskot Upin dan Ipin turut membuat penampilan khas bagi menghibur murid-murid dan memeriahkan lagi aktiviti yang dijalankan.

Untuk terus menyematkan sikap menabung di kalangan murid-murid SK Toh Tandewa Sakti, MNRB turut menyumbang sebuah mural pada dinding utama di sekolah tersebut. Mural yang berkonsepkan “Menabung Amalan Mulia” itu telah  disempurnakan  oleh YBhg. Dato’ Idris Bin Kechot, Timbalan Presiden & Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama-sama YB Dato’ Hj. Samsudin b. Abu Hassan,

Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil serta Encik Mohd Din Merican, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB. Turut hadir sama di majlis ini ialah Encik Alias bin Hamid, Guru Besar SK Toh Tandewa Sakti.

Encik Mohd Din Merican ketika ditemui berkata, “MNRB Ringgit Savvy merupakan platform untuk kami berikan galakan kepada murid-murid supaya mengamalkan sikap menabung  dari usia muda. Kami berharap agar aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan sahaja dapat memberikan keseronokan, tetapi juga dapat mendidik murid-murid agar bijak ketika menguruskan hal-hal berkaitan kewangan”.

MSAM merupakan program pendidikan pelaburan bersepadu tahunan yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) semenjak dari tahun 2000 untuk seluruh lapisan masyarakat. Program ini bermatlamat mendidik masyarakat tentang pelaburan dan perancangan kewangan. Setakat ini MSAM telah menarik penyertaan lebih 3.1 juta pengunjung dari seluruh negara.

MNRB Holdings Berhad (MNRB) adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuhnya ialah Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), Takaful Ikhlas  Berhad (Takaful IKHLAS), MNRB Retakaful Berhad (MRT) dan Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL). MNRB disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).