“MNRB RINGGIT SAVVY PROGRAMME” DIDIK PELAJAR SEKOLAH CELIK KEWANGAN

7 May 2016

Tapah, 25 April 2016 – Bersempena dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016, MNRB Holdings Berhad (MNRB) menerusi program tanggungjawab korporat (CR) sekali lagi telah menganjurkan program celik kewangan kepada pelajar sekolah menengah yang dikenali sebagai “MNRB Ringgit Savvy Programme”.

Program “MNRB Ringgit Savvy” berperanan sebagai satu platform untuk mendidik dan mendedahkan para pelajar sekolah menengah mengenai aspek pelaburan serta pengurusan wang yang bijak. Usaha ini adalah sejajar dengan objektif penganjuran MSAM iaitu mendidik masyarakat Malaysia mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

Program yang dibahagikan kepada dua sessi ini telah disertai seramai 600 orang pelajar daripada beberapa buah sekolah menengah di Daerah Batang Padang. Di bawah program ini, para pelajar telah diperkenalkan dengan satu aktiviti permainan yang direka khas iaitu “MNRB Hour Glass Board Game”. Permainan ini merangkumi empat komponen utama iaitu bank, insurans, cukai dan bonus. Setiap komponen ini mempunyai soalan yang berkisarkan kepada situasi berkaitan dengan pengurusan kewangan di mana para pelajar perlu menjawab dan membuat keputusan serta menetapkan matlamat yang tepat bagi membolehkan mereka mendapat mata dan ganjaran. Permainan yang dijalankan secara berkumpulan ini  memerlukan para pelajar melalui setiap komponen yang disediakan.

Permainan “MNRB Hour Glass Board Game” ini merupakan satu instrumen atau alat pendidikan untuk mendedahkan para pelajar mengenai asas pengurusan kewangan dan mendidik supaya berhemat ketika berbelanja serta dapat mengawal penggunaan wang tunai dengan bijak.

“MNRB Ringgit Savvy Programme” turut menampilkan pengacara popular, Fara Fauzana yang telah sudi berkongsi pengalaman beliau serta memberi tip-tip dan motivasi kepada para pelajar tentang kepentingan menabung.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Encik Mohd Din Merican berkata, “Kami menggunakan pendekatan yang kreatif dan interaktif untuk memupuk amalan menabung dan pengurusan wang serta pelaburan yang bijak di kalangan pelajar sekolah. Aktiviti yang berkonsepkan hiburan dan menyeronokkan ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan menabung dari usia muda”.

“Penerapan pendidikan dan kemahiran pengurusan kewangan bagi generasi muda perlu diutamakan demi membolehkan mereka menghadapi persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa”, tambah beliau.

MSAM merupakan program pendidikan pelaburan bersepadu tahunan yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) semenjak dari tahun 2000 untuk seluruh lapisan masyarakat. Program ini bermatlamat mendidik masyarakat tentang pelaburan dan perancangan kewangan. Setakat ini MSAM telah menarik penyertaan lebih 3.1 juta pengunjung dari seluruh negara. 

MNRB Holdings Berhad (MNRB) adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuhnya ialah Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), Takaful Ikhlas  Berhad (Takaful IKHLAS), MNRB Retakaful Berhad (MRT) dan Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL). MNRB disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).